Jumaat, 30 September 2022 | 12:30pm
 Muhammed Yusoff Rawther. - Foto fail NSTP
Muhammed Yusoff Rawther. - Foto fail NSTP

Kes saman serangan seksual, Yusoff Rawther fail rayuan

KUALA LUMPUR: Bekas Pembantu Penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Presiden PKR itu.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff, berkata pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 28 September.

"Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) pada 27 Disember ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammed Yusoff memfailkan notis rayuan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 September lepas.

Permohonan itu adalah berhubung saman dikemukakan Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik itu empat tahun lepas.

Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Muhammed Yusoff.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff selaku plaintif mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam. – BERNAMA

Berita Harian X