Khamis, 29 September 2022 | 6:40pm

Firdaus Wong tampil bantu mangsa Ebit Lew selepas dirujuk Fairuz Al-Jengkawi

TENOM: Mahkamah Majistret di sini hari ini, diberitahu oleh pengasas Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong, bahawa beliau membantu wanita yang menerima mesej dan gambar berunsur lucah daripada pendakwah, Ebit Liew, selepas dirujuk oleh saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu.

Dalam kenyataan awalnya, Firdaus memaklumkan, antara peranan MRM adalah memberi pertolongan daripada segi kaunseling, psikiatri, guaman dan kewangan kepada golongan kanak-kanak perempuan, remaja perempuan serta wanita yang terbabit dalam kes berkaitan seksual.

"Antara kes yang dibantu MRM, termasuklah seorang pengadu wanita (identiti tidak boleh didedahkan) yang dikaitkan dengan perbicaraan ini.

"Pengadu memberitahu kepada sahabat saya, Akhi Fairuz (panggilan merujuk Mohd Fairuz) bahawa dirinya menerima mesej serta gambar berunsur lucah daripada Ebit Lew," katanya.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, memberi keterangan sebagai saksi ketiga pendakwaan pada prosiding yang berlangsung sebelah petang semalam di hadapan Majistret, Nur Asyraf Zolhani.

Beliau menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad yang bertanya mengenai kes berkaitan seksual wanita yang pernah ditangani oleh Sayap Wanita MRM.

Pihak pendakwaan kes itu turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Terdahulu, saksi pendakwaan kedua, Asisten Superintendan Salwani Mohd Hadzir, 40, memaklumkan mahkamah yang beliau hanya mendapat arahan bagi merampas telefon bimbit milik Mohd Fairuz Abu berkaitan tiga laporan polis yang sedang disiasat.

Katanya, rampasan telefon bimbit milik saksi dibuat susulan tiga laporan polis yang sedang disiasat, namun dia tidak pasti sama ada saksi pendakwaan pertama turut disiasat bagi ketiga-tiga laporan polis itu, bagaimanapun sedia maklum rampasan itu dibuat berkaitan dengan Ebit Lew.

Salwani berkata demikian bagi menjawab pertanyaan peguam bela, Ram Singh, ketika sesi pemeriksaan balas.

Perbicaraan hari ketiga ditangguhkan jam 4.30 petang dan bakal disambung semula esok.

Firdaus ketika keluar daripada Mahkamah Majistret Tenom, hari ini selepas menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Lew. - Foto NSTP/Yun Mikail
Firdaus ketika keluar daripada Mahkamah Majistret Tenom, hari ini selepas menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Lew. - Foto NSTP/Yun Mikail
Berita Harian X