Rabu, 28 September 2022 | 4:13pm
Pihak berkuasa merampas 3,000 kilogram hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing, Johor. NSTP/Ihsan APMM
Pihak berkuasa merampas 3,000 kilogram hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing, Johor. NSTP/Ihsan APMM

'Curi' hasil laut, 19 nelayan Vietnam ditahan

MERSING: Kira-kira tiga tan hasil tangkapan laut dan dua bot nelayan asing dianggarkan bernilai RM3.1 juta dirampas dalam operasi bersepadu di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur di sini, semalam.

Turut ditahan dalam operasi jam 2.30 petang itu, 19 kru warga Vietnam berusia antara 18 hingga 51 tahun kerana gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, berkata ia hasil kejayaan operasi penguatkuasaan Op Jaksa dan Op Bersepadu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, kedua-dua bot nelayan asing itu ditahan ketika menunda pukat secara berganding.

"Ia susulan aduan awam daripada kru bot memancing yang berada berdekatan pulau berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dua bot berserta peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan 19 kru ditahan itu kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti pencerobohan kapal penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

"APMM mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal, tindakan sewajarnya akan dikenakan," katanya sambil menambah, aduan jenayah boleh disalurkan menerusi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

Berita Harian X