Rabu, 28 September 2022 | 3:02pm
Bekas Ketua Unit Perancangan, Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia, Hazri Mokhtar, 43 hadapi 26 tuduhan terima suapan di Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini
Bekas Ketua Unit Perancangan, Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia, Hazri Mokhtar, 43 hadapi 26 tuduhan terima suapan di Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini

Bekas pegawai kanan Pos Malaysia hadapi 26 tuduhan rasuah

MELAKA: Seorang bekas pegawai kanan Pos Malaysia Berhad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 26 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM248,000 sebagai upah mempercepatkan bayaran kepada syarikat pembekal khidmat pengangkutan dan ulang-alik di Sabah dan Sarawak.

Tertuduh yang juga bekas Ketua Unit Perancangan, Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia, Hazri Mokhtar, 43, mengaku tidak bersalah sebaik mendengar semua pertuduhan itu yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 26 itu, tertuduh didakwa menerima suapan wang daripada Syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd melalui individu berbeza berjumlah di antara RM4,000 hingga RM15,000 mengikut transaksi melalui pindahan dalam talian ke akaun Bank Simpanan Nasional dan Maybank miliknya di cawangan bank itu di Jalan Munshi Abdullah dan di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah dekat sini.

Suapan itu sebagai upah membantu mempercepatkan bayaran yang dibuat Pos Malaysia kepada syarikat terbabit bagi kerja-kerja penyumberluaran perkhidmatan pengangkutan dan ulang-alik di Sabah dan Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8 Julai 2020 hingga 11 Oktober 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Irwanshah Abdul Samat, tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh berdepan 26 pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM2009 yang membawa hukuman berat, selain nilai keseluruhan suapan dipertuduhkan sebanyak RM248,000.

Namun, katanya jika mahkamah menggunakan budi bicara, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan selesai serta syarat tambahan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali.

Peguam bela, Muhammad Amir Aizat Abd Rani, bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang menghidap penyakit gout kini hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.

Katanya, tertuduh juga menanggung tiga anak dengan dua masih bersekolah berusia 13 dan 15 tahun.

"Penjamin adalah isteri tertuduh yang bekerja sebagai guru selain mereka turut menjaga keluarga mentua yang sakit," katanya.

Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM35,000 bagi semua pertuduhan dengan isteri tertuduh sebagai penjamin dan membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan selain menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu bagi serahan dokumen.

Berita Harian X