Isnin, 26 September 2022 | 11:44pm
Ahmad Shafiki (dua kanan) diberi taklimat kejadian lemas di Kampung Rajawali, malam ini. - NSTP/Rosli Ilham
Ahmad Shafiki (dua kanan) diberi taklimat kejadian lemas di Kampung Rajawali, malam ini. - NSTP/Rosli Ilham

Pelajar dikhuatiri lemas, 4 rakan selamat

DUNGUN: Seorang pelajar dikhuatiri lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Dungun, dekat Kampung Rajawali, petang tadi.

Mangsa, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid,12, yang tinggal di Taman Norlida Pulau Serai, dipercayai lemas selepas tenggelam ketika air pasang pada kira-kira jam 6 petang.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mandi bersama Muhammad Qhalish Iman Hazimi,12; Muhammad Aqil Shafie,12; dan Wan Adip Hakimi Wan Ahmad,12, manakala seorang lagi rakannya, Raja Muhammad Anas Raja Ibrahim,12, berada di atas darat.

Abdul Rafiuddin Abdul Rashid.
Abdul Rafiuddin Abdul Rashid.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan, Ahmad Shafiki Hussin, berkata sebelum kejadian, mangsa berjalan ke sebuah tebing pasir dalam jarak kira-kira 30 meter .

Beliau berkata, tidak lama di situ, sebaik semua mereka mula kembali ke darat, air sungai tiba-tiba pasang dengan cepat yang menyebabkan dua daripada mangsa tenggelam.

"Dua daripada rakan mangsa sempat berenang naik ke darat dan mengambil pelampung untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa yang tenggelam.

"Muhammad Qhalish berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada pelampung, manakala mangsa, gagal diselamatkan sebelum tenggelam dalam sungai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Ahmad Shafiki berkata, semua mangsa yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai yang terselamat itu kemudian meminta bantuan daripada penduduk sekitar.

"Polis yang menerima laporan bersama sepasukan anggota dan bomba bergegas ke lokasi kejadian.

"Keadaan arus ketika itu sangat deras dan kita berharap mangsa tidak hanyut jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, seramai 32 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan bantuan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

"Setakat jam 10.45 malam, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari sedang giat dilakukan," katanya.

Berita Harian X