Sabtu, 24 September 2022 | 11:34pm
Anggota polis menunjukkan lokasi bas kilang terjunam ke tebing akibat kegagalan brek, menyebabkan 38 pekerja dan pemandu bas cedera. - NSTP/ NURALIAWATI SABRI
Anggota polis menunjukkan lokasi bas kilang terjunam ke tebing akibat kegagalan brek, menyebabkan 38 pekerja dan pemandu bas cedera. - NSTP/ NURALIAWATI SABRI

Bas kilang jatuh tebing, 38 pekerja warga asing cedera termasuk pemandu

ALOR GAJAH: Sekumpulan 38 pekerja warga asing warga Myanmar dan Nepal bersama pemandu bas kilang dinaiki mereka, cedera selepas kenderaan itu terbabas ke dalam tebing sedalam 50 meter di Jalan Simpang Gading/ Kesang Pajak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, 13 daripada keseluruhan penumpang bersama pemandu yang juga warga tempatan dilapor mengalami kecederaan agak parah.

Sementara baki penumpang yang lain dilapor hanya mengalami kecederaan ringan.

Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku ketika bas dalam perjalanan menghantar pekerja sebuah kilang di Batu Berencam, dekat sini, untuk pulang ke asrama penginapan yang terletak berdekatan lokasi kemalangan terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.57 malam sebelum tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Jasin Bestari dan Alor Gajah bergegas ke lokasi kejadian bersama 27 anggota termasuk pegawai.

Beliau berkata, sebelum kejadian bas membawa pekerja kilang warga asing dari Ayer Keroh, sebelum menggelungsur ketika menghampiri kawasan asrama.

"Semua mangsa termasuk pemandu bas berusia 40-an dibawa keluar dengan bantuan orang awam melalui tingkap dan dilaporkan penumpang termasuk pemandu hanya mengalami kecederaan, tiada kehilangan nyawa.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan, manakala penumpang lain yang hanya mengalami cedera ringan dirawat di klinik berdekatan," katanya pada sidang media, malam ini.

Beliau berkata, punca awal kejadian dipercayai berlaku apabila sistem brek bas terbabit gagal berfungsi menyebabkan kenderaan terbabit menggelungsur kira-kira 150 meter ke tebing dan tersangkut pada pokok.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Berita Harian X