Sabtu, 24 September 2022 | 6:55pm

Budak lelaki maut nahas dua kenderaan

JASIN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kesang Garing, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata nahas kira-kira jam pukul 11 pagi itu membabitkan kereta Produa Alza yang dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Kesang menghala ke Durian Tunggal, manakala pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Durian Tunggal ke Jasin.

"Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun, telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu bapa kanak-kanak lelaki terbabit.

"Kejadian ini menyebabkan mangsa, Afif Daiyan Shamsuri yang berada di tempat duduk belakang parah pada kepala, meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mispani berkata, pemandu dan anak perempuannya berumur 11 tahun yang turut berada di tempat duduk belakang, parah pada kepala dan badan.

Katanya, isteri mangsa yang berada di tempat penumpang hadapan, cedera ringan manakala pemandu pacuan empat roda itu mengalami kecederaan pada dada.

"Mayat kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat, manakala kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X