Selasa, 20 September 2022 | 5:54pm
Kapal nelayan Vietnam dengan lima awak-awak dan seorang tekong ditahan Maritim Malaysia kerana menceroboh perairan negara di Barat Laut Simpang Mengayau, di Kudat. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Kapal nelayan Vietnam dengan lima awak-awak dan seorang tekong ditahan Maritim Malaysia kerana menceroboh perairan negara di Barat Laut Simpang Mengayau, di Kudat. - Foto ihsan Maritim Malaysia

6 nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara disyaki cuba melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 101 batu nautika Barat Laut Simpang Mengayau, di sini, kelmarin.

Bot dinaiki mereka sebelum itu dikesan Kapal Maritim (KM) Ikhlas ketika rutin rondaan Op Pluto Timur, jam 2.27 petang.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne, berkata hasil pemeriksaan mendapati enam termasuk tekong berusia 23 hingga 53 tahun berada dalam bot berkenaan, dengan semuanya tidak mempunyai pengenalan diri.

"Pemeriksaan lanjut menemukan alat menangkap ikan jenis rawai dalam bot berkenaan dan disyaki cuba melakukan aktiviti menangkap ikan.

"Bot dan semua nelayan Vietnam ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tiada pengenalan diri ketika diperiksa, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985/63 kerana menangkap ikan di Perairan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16(3) tidak memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia apabila memasuki Perairan Perikanan Malaysia.

Berita Harian X