Selasa, 20 September 2022 | 5:47pm

Runtuhan kuari: Cebisan tulang dan rangka dihantar ke Forensik HRPB untuk bedah siasat

IPOH: Cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemui hari ini, oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, Mac lalu, dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), untuk bedah siasat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata selain itu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan bagi mengesahkan identiti mangsa.

Katanya, operasi SAR di tempat kejadian diteruskan untuk mengesan rangka jentera lain yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan batu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima makluman daripada pihak pengusaha kuari, kira-kira jam 8.30 pagi, mengenai penemuan serpihan jentera yang disyaki dikendalikan oleh seorang mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan batu ketika kejadian berlaku.

"Pasukan SAR yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh dengan dibantu oleh JBPM Perak dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak berjaya menemui cebisan tulang dan rangka manusia di dalam sebahagian kabin jentera yang dijumpai di tempat kejadian," katanya.

Media melaporkan, jengkaut bersama cebisan baju dan tulang ditemukan hari ini, di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Mac lalu.

Mac lalu, media melaporkan, operasi mencari kedudukan jengkaut kejadian dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu kuari itu menunjukkan tanda positif selepas mengesan satu 'spot' besi kedalaman kira-kira 10 meter.

Dua mangsa dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari, kira-kira jam 9.15 pagi, pada 8 Mac lalu menyebabkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Jengkaut bersama cebisan baju dan tulang ditemukan hari ini di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, Mac lalu. NSTP/L Manimaran
Jengkaut bersama cebisan baju dan tulang ditemukan hari ini di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, Mac lalu. NSTP/L Manimaran
Berita Harian X