Ahad, 18 September 2022 | 2:30pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Bapa pelakon remaja direman 3 hari siasat kes ugut, pukul

PETALING JAYA: Bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan direman tiga hari bagi membantu siasatan kes ugut dan pukul ibu kepada pelakon terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata perintah reman ke atas lelaki berusia 43 tahun itu diperoleh tiga hari sehingga 20 September ini.

Terdahulu, suspek yang ditahan Polis Klang Utara dilapor dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ke atas ibu pelakon itu.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di perkarangan IPD Klang Utara, jam 4.10 petang semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Pada 12 September lalu, suspek dilapor dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, dipetik berkata mangsa membuat laporan itu pada 8 September lalu.

Suspek sebelum ini dilapor ditahan 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Lelaki itu ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Berita Harian X