Sabtu, 17 September 2022 | 7:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Bapa pelakon remaja kena tahan lagi

PETALING JAYA: Bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan yang ditahan Polis Daerah Klang Utara, semalam, dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di pekarangan IPD Klang Utara jam 4.10 petang tadi.

"Tangkapan terhadap suspek adalah bagi membantu siasatan laporan polis dibuat oleh bekas isterinya.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi memohon reman esok," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan lelaki itu ditahan polis Klang Utara bagi membantu siasatan kes amang seksual dan cabul terhadap mangsa berusia 15 tahun berkenaan.

Pada 12 September lalu, media melaporkan bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, dilaporkan berkata, mangsa membuat laporan itu pada 8 September lalu.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Berita Harian X