Sabtu, 17 September 2022 | 7:25pm
Kondominium di Ampang Jaya tempat dua kanak-kanak dikurung dan didera. - Foto NSTP/SAFEEK AFFENDY RAZALI
Kondominium di Ampang Jaya tempat dua kanak-kanak dikurung dan didera. - Foto NSTP/SAFEEK AFFENDY RAZALI

Mangsa dera diikat di beranda

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa dera ibu saudara dan suaminya di Taman Cahaya, Ampang Jaya, pernah diikat di beranda rumah, dua minggu lalu.

Mangsa berusia lapan tahun dan adik perempuannya berusia enam tahun didapati pelbagai kesan lebam pada badan akibat didera sejak beberapa bulan lalu.

Beberapa penduduk kondominium itu berkata, kanak-kanak berkenaan tidak dibenarkan untuk bermain dengan kanak-kanak lain.

Seorang penduduk tingkat bawah, blok sama dengan mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, berkata dia tidak pernah melihat mangsa sehingga dimaklumkan tentang cubaan kanak-kanak itu untuk melarikan diri melalui tingkap bilik di tingkat 4, semalam.

"Sebelum ini saya beberapa kali pernah memaklumkan mendengar suara kanak-kanak ini menjerit akibat tidak tahan dipukul dari tingkat atas.

"Saya pernah menceritakan pada penduduk lain tentang kejadian itu tetapi kami tidak dapat mengesan dari mana bunyi jeritan kanak-kanak berkenaan," katanya hari ini.

Lee berkata, selepas mangsa diikat pada beranda dua minggu lalu, beliau dapat mengecam rumah berkenaan.

"Kebanyakan penduduk di sini tidak mengenali pasangan suami isteri itu kerana mereka tidak bercampur dengan penduduk lain.

"Selepas kejadian mereka mengikat mangsa di balkoni, ketua penduduk menasihatkan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Berdasarkan keterangan awal daripada mangsa kanak-kanak lelaki ini, dia dan adiknya sering dipukul oleh kedua-dua suspek sejak beberapa bulan lalu, selain turut dikurung," katanya.

Mohamad Farouk berkata, semasa kanak-kanak itu diselamatkan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, mereka sangat kelaparan.

Berita Harian X