Jumaat, 16 September 2022 | 8:29pm
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera terperangkap pada belebas tingkap di tingkat 4 sebuah kondominium dekat Taman Cahaya, Ampang hari ini. (Foto kanan) Kesan birat di belakang badan mangsa. - Foto ihsan bomba.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera terperangkap pada belebas tingkap di tingkat 4 sebuah kondominium dekat Taman Cahaya, Ampang hari ini. (Foto kanan) Kesan birat di belakang badan mangsa. - Foto ihsan bomba.

Jeritan selamatkan kanak-kanak mangsa dera

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai mangsa dera berjaya diselamatkan selepas terperangkap pada belebas tingkap di tingkat 4 sebuah kondominium dekat Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya, Ampang di sini, ketika dia cuba melarikan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kejadian disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak bomba pada jam 4.41 petang.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar melalui tingkap bilik berkenaan dan terperangkap di belebas tingkap berkenaan.

"Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian jam 4.48 petang tadi mendapati pintu kediaman itu sudah berjaya dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan.

"Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai didera berdasarkan kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa adalah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lapan tahun dan ketika kejadian mangsa ditinggalkan berseorangan.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Thina, 48, berkata kejadian itu disedari isterinya ketika berjoging di kawasan berkenaan.

"Ketika itu kanak-kanak terbabit berada di belebas tingkap di tingkat 4 kondominium berkenaan.

"Dia menjerit meminta tolong kerana sudah tidak tahan didera oleh seorang wanita di rumah itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita Harian X