Selasa, 30 Ogos 2022 | 7:00pm

Remaja perempuan maut dipercayai jatuh kondominium pendiam, suka bersendiri

GEORGETOWN: Remaja perempuan berusia 13 tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, di sini semalam, dikatakan seorang yang pendiam dan suka bersendirian.

Maklumat itu diperoleh hasil siasatan awal, termasuk menemubual ibu bapa mangsa oleh polis yang akan turut ke sekolah remaja berkenaan untuk mendapatkan pandangan guru, sekali gus memastikan segala aspek yang boleh menjurus kepada insiden itu diperhatikan.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung aras satu bangunan kondominium terbabit, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ketika ditemubual polis, ibu bapa remaja berkenaan agak keliru dengan kejadian menimpa anak mereka.

Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) pada sidang media selepas majlis penyerahan basikal Unit Polis Pelancongan Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang (IPK) di Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) pada sidang media selepas majlis penyerahan basikal Unit Polis Pelancongan Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang (IPK) di Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG

"Ibu bapa remaja itu agak keliru dengan apa yang sebenarnya berlaku. Remaja berkenaan dikatakan seorang anak yang pendiam dan suka bersendirian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiada elemen jenayah dikesan dalam kes dan hasil temubual dengan ibu bapa remaja terbabit, tidak menemui perkara luar biasa atau mencurigakan yang boleh dikenal pasti menjadi punca kejadian.

"Justeru, kita menjalankan siasatan di bawah kes kematian mengejut, tetapi sekiranya kita dapati apa-apa sahaja penemuan baharu pada masa depan, kita akan akan sentiasa dapat buka kertas siasatan.

Terdahulu, Mohd Shuhaily mewakili Unit Polis Pelancong (UPP) Kontinjen Pulau Pinang menerima sumbangan 15 basikal bukit bernilai keseluruhan RM30,000 daripada EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.

Basikal berkenaan akan digunakan dalam tugasan rondaan oleh UPP negeri yang antara lain meliputi kawasan tumpuan pelancong seperti di Lebuh Armenian, Jeti Chew, Lebuh Chulia dan Queensbay.

Selain itu, anggota serta pegawai bertugas turut dihantar mempelajari kursus bahasa asing seperti bahasa Jepun selain bahasa Inggeris untuk memudahkan urusan komunikasi dengan pelancong.

"Penggunaan basikal dalam rondaan dapat memudahkan penugasan anggota untuk mengambil tindakan dalam kejadian jenayah atau situasi kecemasan, terutama di kawasan yang sukar dilalui, selain menggalakkan gaya hidup sihat dan mesra alam," katanya.

Berita Harian X