Selasa, 30 Ogos 2022 | 1:44pm

Remaja mengaku tidak bersalah culik bayi

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja perempuan bersama teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menculik seorang bayi perempuan, minggu lalu.

Tertuduh berusia 14 tahun dan teman lelakinya, Muhammad Azrin Budimaeng, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencapai niat bersama melarikan secara salah seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Nombor 4, Tingkat 3 Blok 4 Pangsapuri Idaman Taman Pauh Perai, daerah Seberang Perai Tengah kira-kira jam 5.30 petang pada 23 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Fatin Nabila Hussin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 3 Oktober depan bagi serahan dokumen.

Terdahulu, polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan yang juga suspek utama dalam insiden melarikan bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri, Selasa lalu.

Lima individu berusia 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sebuah pondok di Machang Bubok dan sebuah rumah di Kulim, Kedah.

Serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada ibu kepada bayi perempuan berhubung kejadian anaknya dilarikan seorang daripada cucu pengasuh.

Pada waktu itu, ibu mangsa mahu mengambil anaknya daripada rumah pengasuh jam 5.30 petang sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu cucu perempuannya membawa lari mangsa ketika dia sedang solat.

Remaja perempuan dan teman lelakinya, Muhammad Azrin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik bayi perempuan berusia sembilan bulan. - Foto NSTP/Danial Saad
Remaja perempuan dan teman lelakinya, Muhammad Azrin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik bayi perempuan berusia sembilan bulan. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X