Khamis, 25 Ogos 2022 | 1:03pm
Anggota Maritim Malaysia Perak merampas bubu naga di perairan Tanjung Hantu, Lumut. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak
Anggota Maritim Malaysia Perak merampas bubu naga di perairan Tanjung Hantu, Lumut. - Foto ihsan Maritim Malaysia Perak

680 bubu naga dirampas di Perak dalam tujuh bulan pertama 2022

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 680 set bubu naga dianggarkan bernilai RM75,360 di sekitar perairan Perak dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, tahun ini.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup, berkata rampasan itu dilakukan di perairan Kuala Kurau, Pulau Talang dan Pantai Remis sepanjang Januari hingga Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengesan penggunaan bubu naga di perairan negeri ini berleluasa yang boleh menganggu habitat marin dalam jangka panjang.

"Penggunaan bubu naga menyebabkan ekosistem marin terancam, terutamanya di pesisir pantai, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

"Kita bimbang sekiranya penggunaan bubu naga ini masih diteruskan, populasi habitat marin di negeri ini bakal berkurang dan generasi akan datang bakal terkesan.

"Biarpun penguatkuasaan dilakukan dan bubu itu dirampas, penggunaan alat terbabit di laut sukar dibendung kerana ia digunakan secara pasang dan tinggal, selain mudah didapati di pasaran terbuka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hambali berkata, berikutan penggunaan bubu naga adalah secara pasang dan tinggal, tiada mana-mana pihak tampil menuntut peralatan berkenaan sekiranya ia dirampas pihak berkuasa.

Dalam kes terbaharu, katanya, Maritim Malaysia Perak merampas 50 bubu naga pada kedudukan 2.7 batu nautika barat Tanjung Hantu, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

"Semua 50 set bubu naga itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Perak untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau mengingatkan, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Ia bagi kesalahan memasang atau menyebabkan pemasangan apa-apa belat ikan, peralatan perikanan atau peranti menggumpul ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Justeru, Mohd Hambli berharap komuniti maritim mempunyai kesedaran mengenai kemudaratan peralatan berkenaan dan bekerjasama dengan Maritim Malaysia yang turut melakukan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras penggunaan bubu naga.

"Ketua komuniti maritim setempat juga diminta menasihati komuniti mereka dengan sentiasa menyampaikan pesan dan berkempen agar penggunaan bubu naga ini dapat dihentikan," katanya.

Untuk maklumat atau aduan salah laku dan kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Malaysia Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

Berita Harian X