Rabu, 24 Ogos 2022 | 10:06am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Ditahan minta wang perlindungan RM100

AMPANG JAYA: Cubaan seorang lelaki memeras ugut pemilik kedai runcit di Pandan Perdana, dekat sini untuk membayar wang perlindungan RM100 mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Difahamkan suspek berusia 41 tahun bekerja sebagai buruh itu tinggal di kawasan berhampiran kedai runcit terbabit mencuba nasib dengan memeras ugut lelaki berusia 64 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dalam kejadian jam 6 petang Sabtu lalu, mangsa berada di kedai didatangi suspek seorang diri meminta RM100 sebagai wang perlindungan.

"Suspek turut mengugut akan rosakkan barangan kedai mangsa malah sewaktu kejadian, suspek turut menendang barang di kedai dan menggugut akan datang memukul mangsa di kemudian hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa polis mengesan suspek sebelum menahannya jam 12.05 tengah malam di Pandan Perdana.

"Suspek mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana daripada seksaan itu.

Berita Harian X