Isnin, 22 Ogos 2022 | 12:30pm
Penunggang motosikal menunggang secara berbahaya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Pantai Seagate, di Bayan Lepas, awal pagi tadi. NSTP/Ihsan PDRM
Penunggang motosikal menunggang secara berbahaya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Pantai Seagate, di Bayan Lepas, awal pagi tadi. NSTP/Ihsan PDRM

Tiru aksi Superman, empat penunggang motosikal ditahan

BAYAN LEPAS: Polis menahan empat penunggang motosikal kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran Pantai Seagate di sini, awal pagi tadi.

Mereka ditahan ketika Op Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 19 tahun.

Katanya, penahanan dilakukan selepas mendapati sekumpulan penunggang motosikal berkenaan menunggang dengan laju dan dengan membongkokkan badan meniru aksi Superman.

"Mereka juga menunggang motosikal dengan aksi 'zig-zag' yang berbahaya kepada diri serta pengguna jalan raya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul berkata, kesemuanya ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kesemua mereka direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Sepanjang operasi yang dijalankan antara 12 tengah malam hingga 7 pagi ini, tujuh motosikal disita dan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya.

Berita Harian X