Jumaat, 19 Ogos 2022 | 3:19pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. - Foto BERNAMA

KPN arahkan siasatan segera ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat sebarang elemen ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

Antara ciapan di Twitter yang berbaur ugutan kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. - Foto ihsan Twitter
Antara ciapan di Twitter yang berbaur ugutan kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. - Foto ihsan Twitter

Acryl Sani berkata, perkara itu adalah satu isu yang serius dan siasatan terhadap kes ancaman berkenaan sedang dilaksanakan walaupun tiada laporan polis dibuat setakat ini.

"Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Sementara itu, berdasarkan maklumat awal sehingga jam 2.30 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, tiada laporan polis dibuat berhubung kes ugutan terhadap Ketua Hakim Negara.

Namun, Bukit Aman dilaporkan sedang meneliti sekiranya laporan berhubung kes sama turut dilaporkan di IPK lain di seluruh negara.

Berita Harian X