Jumaat, 19 Ogos 2022 | 1:19pm
Bahagian jengkaut yang dibawa lori tersangskut pada kabel elektrik di Tanjung Manis, Mukah, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan JBPM
Bahagian jengkaut yang dibawa lori tersangskut pada kabel elektrik di Tanjung Manis, Mukah, hari ini. - Foto NSTP/Ihsan JBPM

Pemandu, kelindan lori maut disyaki terkena renjatan elektrik

KUCHING : Dua lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas jentera berat yang mereka bawa dengan menggunakan lori tersentuh kabel elektrik di Jalan Jalan Semalau, Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah, hari ini.

Kedua-dua mangsa dipercayai pemandu dan kelindan lori yang membawa muatan jentera berat itu ditemui di dalam kenderaan yang terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran sebuah lori pada jam 9.15 pagi.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan sebuah lori yang membawa jengkaut yang tersangkut pada kabel elektrik.

"Dua lelaki dewasa ditemui tidak sedarkan diri di dalam lori berkenaan dipercayai akibat renjatan elektrik dan mangsa disahkan meninggal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa turut dibantu anggota polis serta kakitangan Sarawak

Energy Berhad.

Menurutnya lagi, identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenalpasti.

Berita Harian X