Khamis, 18 Ogos 2022 | 11:49am
Empat pemancing terselamat selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Tengah, di Mersing Johor, semalam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
Empat pemancing terselamat selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Tengah, di Mersing Johor, semalam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Bot terbalik, empat pemancing selamat

MERSING: Sebuah bot dinaiki empat pemancing terbalik akibat cuaca buruk di perairan Pulau Tengah, di sini kira-kira 5 petang semalam.

Bagaimanapun, semua lelaki warga tempatan berusia 33 hingga 43 tahun itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, berkata mangsa sempat memakai jaket keselamatan sebelum kejadian.

"Pelancong yang menyaksikan kejadian itu bertindak membantu menarik bot yang terbalik ke kawasan pantai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada pengurus sebuah resort yang memaklumkan empat pemancing terkandas di pulau itu.

"Mangsa dikenal pasti sebagai Faizal Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, dan Mohamad Asyraf Ali, 33. Mereka berasal dari Mersing dan tidak memgalami kecederaan," katanya.

Khairul Nizam berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk pemeriksaan kesihatan.

Katanya, Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

"Amalkan langkah keselamatan ketika berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Berita Harian X