Sabtu, 13 Ogos 2022 | 7:38pm
Sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi Superman ketika Op Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Pantai Seagate, di sini, sebelum ditahan ketika Op Samseng Jalanan. - Foto ihsan PDRM
Sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi Superman ketika Op Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Pantai Seagate, di sini, sebelum ditahan ketika Op Samseng Jalanan. - Foto ihsan PDRM

Buat aksi Superman, tiga penunggang motosikal ditahan

BAYAN LEPAS: Tiga penunggang motosikal ditahan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Pantai Seagate di sini, awal pagi tadi, kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Mereka ditahan ketika Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 36 tahun.

Katanya, dua daripada mereka adalah pekerja kilang, manakala seorang lagi juruteknik lif.

"Ketika operasi diadakan, sekumpulan penunggang motosikal dilihat menunggang dengan laju secara membongkokkan badan seperti aksi Superman dan ini berbahaya kepada diri serta pengguna jalan raya lain.

"Tiga daripada mereka masing-masing menerima enam, empat dan satu saman atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarul berkata, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, sepanjang operasi dijalankan antara jam 1 hingga 7 pagi itu, sebanyak lapan saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan dua motosikal disita.

Berita Harian X