Khamis, 11 Ogos 2022 | 5:24pm
Dua maut selepas motosikal ditunggang merempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 103 Lebuhraya Utara Plus (PLUS), malam tadi. - FOTO TULAR
Dua maut selepas motosikal ditunggang merempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 103 Lebuhraya Utara Plus (PLUS), malam tadi. - FOTO TULAR

Dua maut, motosikal rempuh treler rosak

SUNGAI PETANI: Dua maut selepas motosikal ditunggang merempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 103 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.55 malam itu, wanita berusia 22 tahun yang menunggang motosikal terbabit maut di lokasi kejadian manakala pembonceng lelaki berusia 19 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada jam 3 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata siasatan mendapati sebuah treler yang mengalami kerosakan enjin berhenti di lorong kecemasan.

"Bagaimanapun, motosikal ditunggang mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kanan belakang treler, menyebabkan mangsa wanita meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

"Pemboncengnya disahkan meninggal dunia kira-kira lima jam selepas itu di hospital kerana mengalami kecederaan dalaman manakala pemandu treler berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, siasatan lanjut mendapati pihak PLUS sudah meletakkan kon kecemasan di belakang treler dan cuaca ketika kejadian agak baik.

"Pemeriksaan mendapati penunggang motosikal yang bekerja di sebuah restoran makanan segera tidak mempunyai lesen manakala skuter terbabit mempunyai cukai jalan sah.

"Pemandu treler mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang belum tamat tempoh," katanya.

Katanya, mayat dihantar ke unit forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X