Isnin, 8 Ogos 2022 | 6:06pm
Mohd Radzi (tengah) menunjukkan dadah berserta acuan simen yang dirampas dalam serbuan di Bayan Lepas dan Butterworth Khamis lalu. NSTP/ Nur Izzati Mohamad
Mohd Radzi (tengah) menunjukkan dadah berserta acuan simen yang dirampas dalam serbuan di Bayan Lepas dan Butterworth Khamis lalu. NSTP/ Nur Izzati Mohamad

Sindiket edar syabu guna acuan simen tumpas

KEPALA BATAS: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan serbuk methylenexiody-methamphetamine (MDMA) dengan menahan lima sekeluarga serta seorang wanita dalam empat serbuan di Bayan Lepas dan Butterworth, pada Khamis lalu.

Dalam keempat-empat serbuan bermula jam 2.30 petang hingga jam 11 malam itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut merampas dadah keseluruhan seberat hampir 14.1 kilogram dianggarkan bernilai RM694,412.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata pada serbuan pertama di depan sebuah premis dekat Bayan Lepas, polis menahan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 32 tahun.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap pasangan kekasih itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Bagan, Butterworth dan polis menahan empat lagi suspek iaitu ibu bapa, adik lelaki dan adik ipar kepada suspek pertama berusia lingkungan 32 hingga 66 tahun.

"Susulan penahanan keenam-enam suspek, polis seterusnya menyerbu sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas, sebelum pemeriksaan lanjut menemui bungkusan mengandungi dadah jenis syabu yang ingin dihantar ke luar negara oleh pasangan kekasih berkenaan.

"Polis kemudian melancarkan semula serbuan keempat di rumah sama (Taman Bagan) dan menjumpai sejumlah syabu disembunyikan dalam acuan simen yang menjadi modus operandi digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Selain itu, polis turut merampas serbuk MDMA yang semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM694,412, selain menyita sebuah kenderaan bernilai RM23,000 serta wang tunai RM1,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini

Mohd Radzi berkata, siasatan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak Jun lalu dengan memfokuskan pasaran tempatan dan luar negara.

"Pasaran tempatan dipercayai membabitkan penjualan serbuk MDMA di pusat hiburan yang setiap pek dijual pada harga antara RM150 hingga RM180.

"Manakala pasaran luar negara membabitkan penjualan dadah jenis syabu dan polis masih menyiasat lokasi dadah berkenaan dihantar," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, semakan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas keenam-enam suspek mendapati mereka negatif dadah.

"Keenam-enam mereka kini direman lima hari bermula Jumaat lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, pada tarikh sama jam 4.30 petang, sepasukan polis dari JSJN IPD Seberang Perai Utara menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Mak Mandin, Butterworth.

Mohd Radzi berkata, dalam serbuan itu polis merampas sejumlah dadah jenis ketamin, ekstasi, eramin 5 dan serbuk MDMA, selain menyita sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM70,080.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan ditahan lima hari sehingga esok untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X