Ahad, 7 Ogos 2022 | 5:54pm
Tiga nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tarik tepi kira-kira 3.2 batu nautika di perairan Jeram, semalam. - Foto ihsan APMM Selangor
Tiga nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tarik tepi kira-kira 3.2 batu nautika di perairan Jeram, semalam. - Foto ihsan APMM Selangor

Tiga nelayan ditahan, tangkap ikan guna pukat tarik tepi

KUALA SELANGOR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga nelayan tempatan ketika menangkap ikan dengan menggunakan pukat tarik, kira-kira 3.2 batu nautika perairan Jeram di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata kesemua tekong dan kru berusia 35 hingga 38 tahun itu ditahan pada jam 9.30 malam ketika menaiki sebuah bot nelayan.

Beliau berkata, perkara itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang.

"Bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin kemudian digerakkan ke lokasi bagi pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu dinaiki tiga lelaki yang sedang menangkap ikan dengan pukat tarik tepi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siva Kumar berkata, pihaknya juga merampas hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat 50 kilogram (kg) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan kurang dari jarak dibenarkan.

"APMM memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

"Orang ramai yang ada maklumat berhubung jenayah maritim dan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera," katanya.

Berita Harian X