Ahad, 7 Ogos 2022 | 4:43pm
Pasukan menyelamat berusaha menyelamatkan warga Perancis yang pengsan ketika hampir tiba di puncak Gunung Jasar. NSTP/Ihsan Bomba
Pasukan menyelamat berusaha menyelamatkan warga Perancis yang pengsan ketika hampir tiba di puncak Gunung Jasar. NSTP/Ihsan Bomba

Warga Perancis maut ketika mendaki Gunung Jasar

KUANTAN: Seorang pelancong warganegara Perancis maut selepas pengsan ketika mendaki Gunung Jasar di Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Marc Anthoine Anne Mane, 52, sedang mendaki ke puncak bersama lapan rakan serta seorang pemandu pelancong tiba-tiba rebah kira-kira jam 10.20 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata mereka memulakan pendakian kira-kira jam 8.20 pagi.

Katanya, ketika hampir tiba di puncak, seorang daripadanya didapati tidak sedarkan diri.

"Enam pegawai dan anggota serta polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.

"Sebaik tiba, komander operasi menyelamat segera memberikan rawatan awal dengan bantuan pernafasan.

"Bagaimanapun, tiada sebarang tindak balas. Mangsa yang pengsan dibawa turun dengan menggunakan pengusung sebelum kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulfadli berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands.

Difahamkan, sembilan pelancong luar itu membabitkan empat orang dari Perancis, empat warganegara Itali dan seorang warganegara Norway bersama pemandu pelancong tempatan.

Berita Harian X