Ahad, 7 Ogos 2022 | 1:25pm
Tangkap layar seorang lelaki dilihat dengan bersahaja memasukkan muncung vape ke mulut bayi yang berada di atas pangkuannya. - NSTP/Video tular.
Tangkap layar seorang lelaki dilihat dengan bersahaja memasukkan muncung vape ke mulut bayi yang berada di atas pangkuannya. - NSTP/Video tular.

Ibu bapa, penjaga, dedah kanak-kanak kepada bahaya boleh didakwa

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau penjaga yang mendedahkan kanak-kanak kepada sebarang cara yang mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal atau emosi boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Pengamal undang-undang, Fahmi Abd Moin, berkata Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

"Mengikut seksyen itu, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

"Mana-mana individu yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak dan kemudian mendedahkannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi, boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular yang menunjukkan seorang lelaki 'menyuapkan' rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi.

Dalam video berdurasi 16 saat itu, seorang lelaki dilihat dengan bersahaja memasukkan muncung vape ke mulut bayi yang berada di atas pangkuannya.

Pengamal undang-undang, Fahmi Abd Moin
Pengamal undang-undang, Fahmi Abd Moin

Sementara itu, menerusi ciapan di Twitter, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Haikal, mengakui dia adalah lelaki dalam video yang tular itu.

Beliau mendakwa, vape itu tidak berfungsi dan memang selalu dijadikan barang mainan oleh bayi berkenaan.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa vape itu tidak berfungsi dan memang selalu dijadikan barang mainan oleh bayi berkenaan, Fahmi berkata, siasatan perlu dilakukan oleh pihak polis.

"Kenyataan `off record' seperti itu tidak boleh diambil kira," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, ketika dihubungi BH, memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung perkara itu.

Berita Harian X