Sabtu, 6 Ogos 2022 | 8:33am

Dakwaan cubaan culik murid prasekolah palsu

TAWAU : Polis menafikan dakwaan berlaku cubaan culik seorang murid prasekolah di sini Isnin lalu seperti ditularkan menerusi media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan mendapati kejadian itu tidak benar dan kenyataan yang disebarkan adalah palsu.

Menurutnya, pihak polis juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama pihak sekolah, ibu bapa dan murid yang didakwa menjadi mangsa cubaan culik bagi mengetahui kejadian sebenar.

"Selain itu, satu laporan polis juga dibuat pada jam 3.26 petang oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit yang menafikan berlakunya insiden terbabit.

"Justeru, suka saya mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai apa yang dibaca selain menyemak kesahihannya sebelum membuat kesimpulan atau menyebarkan ya," katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung cubaan culik murid prasekolah di sini, pada petang Isnin lalu.

Suspek dikatakan cuba mengumpan mangsa dengan memberi gula-gula dan wang namun mangsa menolak pujukan itu sebelum suspek cuba menarik tangan mangsa secara paksa.

Bagaimanapun, cubaan culik itu gagal apabila di sedari oleh seorang guru bersama pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

Berita Harian X