Khamis, 4 Ogos 2022 | 3:29pm
Muhamad Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 5 kilogram dadah yang dirampas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Muhamad Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 5 kilogram dadah yang dirampas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penganggur ditahan disyaki miliki dadah bernilai RM180,270

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki yang juga penganggur kerana disyaki memiliki lima kilogram (kg) dadah jenis syabu, 10 biji pilpsikotropik dan tujuh biji pil kuda bernilai RM180,270 di Jalan Wakaf Che Yeh, Mukim Padang Enggang, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek berusia 57 tahun itu ditahan pada jam 12.06 tengah malam selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, sebaik mendekati suspek dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, anggota membuat pemeriksaan ke atas tubuh badannya sebelum menemui plastik berisi dadah di dalam poket seluar suspek.

"Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kereta dipercayai milik suspek menjumpai bungkusan plastik berwarna merah di bahagian tempat duduk yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat lima kg.

"Tangkapan terbabit dilakukan susulan penahanan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 40 tahun ketika serbuan pertama di Kampung Tasek Berangan, Repek, Pasir Mas, pada jam 9 malam, Isnin lalu.

"Kesemua dadah dirampas dan kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 50,027 penagih.

"Kedua-dua suspek juga positif dadah Methampethamine, selain masing-masing mempunyai lapan dan tujuh kes jenayah lampau juga membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Mereka ditahan reman tujuh hari bermula 2 sehingga 8 Ogos bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, wang tunai bernilai RM5,360 dipercayai hasil pengedaran dadah, sebuah kereta dan sebuah motosikal turut dirampas.

Berita Harian X