Rabu, 3 Ogos 2022 | 7:55pm

Pelajar maut motosikal ditunggang ke sekolah terbabas rempuh tiang

SITIAWAN: Perjalanan seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga ke sekolah, berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas merempuh tiang lampu di Jalan Kampung Sitiawan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata kejadian berlaku pada 7.20 pagi apabila mangsa menunggang motosikal dari arah Kampung Deralik menghala ke Sitiawan.

"Motosikal ditunggang mangsa berusia 15 tahun itu hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tiang lampu di lokasi kejadian.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian serta kematiannya disahkan penolong pembantu perubatan Hospital Seri Manjung (HSM)," katanya ketika dihubungi.

Nor Omar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSM dan proses bedah siasat dilakukan jam 10.50 pagi tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X