Rabu, 3 Ogos 2022 | 4:25pm
Laluan arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di KM265.9 dekat Kuala Kangsar sesak teruk susulan kemalangan lori kontena muatan tin sardin yang terbalik melintangi laluan hingga menyebabkan muatan bertaburan. Foto tular
Laluan arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di KM265.9 dekat Kuala Kangsar sesak teruk susulan kemalangan lori kontena muatan tin sardin yang terbalik melintangi laluan hingga menyebabkan muatan bertaburan. Foto tular

Lebuh raya sesak teruk angkara lori kontena sardin terbalik

IPOH: Laluan arah selatan di Kilometer 265.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini, sesak teruk akibat lori kontena muatan tin sardin terbalik melintangi laluan hingga menyebabkan muatan barangan makanan itu bertaburan di permukaan lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kemalangan itu menyebabkan laluan menghala arah selatan terhalang sepenuhnya dengan aliran trafik sesak lebih tiga kilometer.

"Untuk makluman, berlaku kemalangan di KM265.9 arah selatan dalam daerah Ipoh membabitkan lori muatan sardin melintang jalan. Laluan ke arah selatan ditutup sepenuhnya.

"Semua kenderaan wajib keluar menerusi di Plaza Tol Kuala Kangsar bagi membolehkan kerja pengalihan lori kontena terbabit dijalankan," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kawasan kejadian membabitkan daerah pentadbiran Polis Daerah Ipoh, namun pihaknya membantu menyuraikan laluan.

"Polis Kuala Kangsar mengarahkan kenderaan untuk melalui jalan lama (laluan Persekutuan) dari Plaza Tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput untuk ke Ipoh," katanya.

Berdasarkan visual yang dikongsi pengguna laluan terbabit, permukaan lebuh raya di kawasan kejadian bertukar warna kepada coklat kemerahan, di samping ribuan tin sardin bertaburan menyebabkan ia digilis kenderaan yang melalui lokasi kejadian.

Sementara itu, laman Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada 1.24 tengah hari memaklumkan, laluan kontra dibuka di KM267.0 hingga 265.1 PLUS arah utara bagi mengurangkan kesesakan, sebelum lencongan kenderaan menghala selatan di Plaza Tol Kuala Kangsar ditutup setakat jam 2.42 petang tadi.

Berita Harian X