Selasa, 2 Ogos 2022 | 4:43pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Op Tapis 5: 4,243 ditahan, dadah dan harta RM1.4 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 4,243 individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Operasi Tapis Khas (Op Tapis Khas) Siri 5 di seluruh negara bermula 27 hingga 29 Julai lalu.

Op Tapis Khas siri 5 dijalankan secara bersepadu antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman serta JSJN semua kontinjen negeri dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR).

Menerusi operasi sama, polis turut merampas pelbagai jenis dadah serta sitaan harta bernilai RM1.1 juta.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata sepanjang operasi, seramai 9,684 individu diperiksa dengan 4,243 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Antara yang ditahan terdiri daripada 426 orang yang dikategorikan sebagai 'tokan' dadah. Jumlah itu termasuk 30 warga asing dan dua penjawat awam.

"Selain itu, kita menahan 2,077 orang penagih dadah termasuk 60 warga asing, 14 penjawat awam serta sembilan pelajar sekolah serta 196 individu yang berada dalam senarai orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah.

"Kita turut menahan 1,544 orang termasuk 21 warga asing dan lapan penjawat awam berkait lain-lain kesalahan. Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 14 hingga 70 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, seramai 87 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952), 46 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan 288 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Selain itu, 899 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, 239 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan 2,077 tangkapan lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata PDRM juga berjaya merampas 99.03 kilogram (kg) serta 508 liter cecair pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM607,878 serta empat senjata api terdiri tiga senapang angin, satu pistol serta 30 butir peluru dalam operasi sama.

Katanya, rampasan terdiri heroin (2.8kg), syabu (2.9kg), ketamin (2.1kg), ganja (5.7kg), pil erimin 5 (40 gram), pil yaba (1.1kg), pil ekstasi (20 gram), serbuk ekstasi (60 gram), daun ketum (83.9kg), pil psikotropik (250 gram), air ketum (492.6 liter), kodein (15.3 liter) dan 34 pokok ganja.

"Polis mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM811,608.

"Antaranya, wang tunai berjumlah RM13,228, kenderaan bernilai RM789,730, jam tangan (RM4,000), barang kemas (RM450), gitar elektrik (RM2,400) dan set dram (RM1,800)," katanya.

Noorsiah berkata, sejak Op Tapis Khas dijalankan bermula Januari hingga Julai lalu, 20,561 individu ditahan atas kesalahan dadah selain rampasan 2 tan dadah dan 2,530 liter cecair dadah dianggarkan bernilai RM15 juta.

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka menerusi Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Berita Harian X