X
Khamis, 28 Julai 2022 | 9:08pm
Keadaan kereta PROTON Saga yang merempuh kedai di stesen minyak dekat Gemas, petang tadi. Fotro ihsan pembaca
Keadaan kereta PROTON Saga yang merempuh kedai di stesen minyak dekat Gemas, petang tadi. Fotro ihsan pembaca

Kereta rempuh kedai stesen minyak

TAMPIN: Sebuah kereta PROTON Saga merempuh kedai serbaneka di stesen minyak di Batu 1, Jalan Batu Anam, dekat Gemas, selepas seorang lelaki tertekan pedal minyak ketika mahu mengisi minyak di situ, petang tadi.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu hanya menyebabkan seorang pelanggan yang berada di situ mengalami luka kecil.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila seorang lelaki yang juga guru tertekan pedal minyak ketika mahu mengisi minyak.

"Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis PROTON Saga yang terbabas dan tidak membabitkan kecederaan di stesen minyak Petronas Gemas, hari ini.

"Siasatan awal mendapati pemandu guru lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu tertekan pedal minyak dengan kuat ketika cuba membetulkan kedudukan kereta di pam nombor dua.

"Akibat kejadian itu, kereta dipandunya merempuh kawasan jualan stesen minyak itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kereta terbabit terlanggar seorang lelaki sedang membeli barang runcit di dalam premis itu dan mengalami luka luka kecil, selain berlaku kerosakan dalam premis.

"Laporan polis sudah dibuat pihak terbabit dan siasatan kes sedang dilakukan," katanya.

Berita Harian X