Khamis, 28 Julai 2022 | 12:17am
Mangsa yang cedera diangkat oleh pasukan bomba dari lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan BOMBA
Mangsa yang cedera diangkat oleh pasukan bomba dari lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan BOMBA

Dua kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, di sini, malam tadi.

Mangsa Isa Sabri, 2 dan Norain Jaziz, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang cedera ialah

Siti Nur, 28, patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki dan turut menerima rawatan di HQE.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 8.26 malam tadi.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

Dua kanak-kanak meninggal dunia akibat tertimbus dalam tanah runtuh yang meranapkan rumah mereka berhampiran Taman Elok, Bukit Nenas di sini, kelmarin. - Foto JBPM
Dua kanak-kanak meninggal dunia akibat tertimbus dalam tanah runtuh yang meranapkan rumah mereka berhampiran Taman Elok, Bukit Nenas di sini, kelmarin. - Foto JBPM

Lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua kanak-kanak di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan BOMBA
Lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua kanak-kanak di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan BOMBA

"Setibanya di lokasi kejadian didapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang didiami sembilan sekeluarga.

"Terdapat empat mangsa terbabit iaitu satu cedera di bahagian kaki manakala tiga lagi tertimbus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

"Dua lagi mangsa perempuan termasuk seorang kanak-kanak yang tertimbus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan orang awam.

"Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan ambulans.

"Dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di hospital manakala dua lagi mangsa yang cedera kini menerima rawatan," katanya.

Katanya lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain terbabit operasi ditamatkan kira-kira jam 10 malam tadi.

Berita Harian X