Rabu, 27 Julai 2022 | 2:16pm

Pemotong rumput didakwa menyamar bomoh, perdaya wanita kerugian hampir RM96,000

SEREMBAN: Seorang pemotong rumput didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memperdaya seorang wanita dengan menyamar sebagai bomoh sehingga mangsa kerugian hampir RM96,000 pada Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Aizat Ahmad, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Salleh serta Majistret Norzaliza Tesmin selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita berusia 42 tahun dalam urusan mendapatkan perkhidmatan tradisional atau bomoh yang tidak wujud dengan menyatakan kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri dihidapi mangsa, sehingga mendorongnya menyerahkan seutas rantai, seutas gelang tangan, sebentuk cincin dan wang tunai RM4,000 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,362.

Bagi tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa memperdaya wanita sama dalam urusan sama sehingga mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM80,550 ke dalam akaun bank.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah kedai makan di Senawang pada 19 Mac lalu, yang boleh dihukum bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, memohon anak guam dikenakan ikat jamin minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai pemotong rumput, selain sedang dalam proses perceraian dan perlu menanggung dua adik.

Mahkamah kemudian menetapkan keseluruhan ikat jamin RM16,000, dan sebutan semula kes pada 10 Ogos depan.

Mohamad Aizat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM
Mohamad Aizat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM
Berita Harian X