Isnin, 25 Julai 2022 | 4:01pm
Foto tular memaparkan seorang lelaki duduk di atas bumbung MPV ketika bersiar-siar di Langkawi. - Foto tular
Foto tular memaparkan seorang lelaki duduk di atas bumbung MPV ketika bersiar-siar di Langkawi. - Foto tular

Polis tahan lelaki duduk atas bumbung Vellfire

LANGKAWI: Lelaki yang duduk di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandu ketika bersiar-siar di pulau ini minggu lalu ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata suspek warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, pada jam 7 malam.

"Siasatan awal mendapati, lelaki itu menetap di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor dan kumpulan rakannya adalah pelancong tempatan yang datang bercuti ke pulau ini.

"Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video dan beberapa gambar memaparkan seorang lelaki keluar melalui bumbung kenderaan sebelum duduk di atas MPV mewah berkenaan ketika bersiar di pulau ini.

Berita Harian X