Isnin, 25 Julai 2022 | 12:41pm

Suri rumah bersama rakan lelaki didakwa bunuh suami

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh suaminya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Margaret Law, 36, didakwa melakukan pembunuhan terbabit bersama rakan lelakinya, Fam Mee Fatt, 53.

Kedua-duanya mengaku memahami pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka sejurus ia dikemukakan di hadapan Majistret, Nurmadiana Mamat, tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Lee Ming How, 44, di No 03-14, Blok 11, Jalan Nipah, Taman Daya di sini, kira-kira 2 petang, 14 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Nur Aqiilah Ahmad Rafaei, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 27 September nanti untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

Margaret mengaku bersalah memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan, selepas air kencingnya diuji di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) kira-kira jam 1.30 petang, 15 Julai lalu.

Mee Fatt yang juga seorang buruh pula turut mengaku bersalah melakukan perkara sama memasukkan methamphetamine ke dalam badan di tempat sama, kira-kira 12.01 tengah malam, 16 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Margaret yang juga ibu kepada tiga orang anak, sambil menangis memohon hukuman ringan kerana tidak mampu membayar denda.

Mee Fatt juga merayu hukuman denda yang ringan kerana dia merupakan bapa tunggal kepada seorang anak.

Sharifah Natasha bagaimanapun memohon satu hukuman setimpal buat kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran buat mereka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau enam bulan penjara ke atas setiap tertuduh.

Mereka berdua turut diperintahkan menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan, Ming How, ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kediaman keluarganya, selepas dipercayai dipukul isteri.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, terdapat kesan ikatan di kaki, pukul serta tikaman di tubuh mangsa lelaki itu.

Beliau turut memaklumkan polis menemui dadah jenis syabu dan peralatan penagihan di rumah mangsa.

Margaret ditahan polis pada 15 Julai lalu manakala Mee Fatt ditahan kira-kira 10 malam, hari yang sama sebelum kedua-duanya ditahan reman.

Margaret bersama rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh suaminya pada 14 Julai lalu
Margaret bersama rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh suaminya pada 14 Julai lalu
Margaret bersama rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh suaminya pada 14 Julai lalu. - NSTP/Izz Laily Hussein
Margaret bersama rakan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh suaminya pada 14 Julai lalu. - NSTP/Izz Laily Hussein
Berita Harian X