X
Khamis, 21 Julai 2022 | 5:10pm

Bekas pengarah syarikat dituduh salah guna, palsukan cek RM10.56 juta

IPOH: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 64 pertuduhan membabitkan kesalahan menyalah guna, memalsukan dan menggunakan cek bank palsu berjumlah RM10.56 juta.

Pengakuan itu dibuat Ooi Yee Ling yang juga bekas pengarah dan pemegang saham Syarikat Amani Cergas Berhad sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Selain dua pertuduhan menyalahgunakan cek mengikut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, wanita berusia 46 tahun itu juga berdepan 62 pertuduhan kerana memalsukan dan menggunakan cek palsu mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 471 yang dibaca bersama Seksyen 467 kanun sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Yee Ling dituduh menyalahgunakan cek bank milik seorang individu untuk kepentingan peribadi dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat, dan boleh dihukum denda.

Bagi 62 lagi kesalahan, tertuduh didakwa memalsukan cek bank milik individu sama di premis syarikatnya di Loyal Garden Residence di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini serta dengan curangnya menggunakan cek palsu sebagai tulen.

Untuk kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 467 kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Semua kesalahan dilakukan tertuduh antara 17 November 2017 dan 8 Februari 2018 di beberapa bank sekitar bandar raya ini.

Selain itu, Yee Ling di mahkamah sama turut didakwa bersama-sama dengan perunding syarikat Yee Yat Kai, 64, atas empat pertuduhan memalsukan dokumen di bawah Seksyen 467 dan 471/467 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam KenZaly Goik.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM600,000 untuk Yee Ling, manakala RM200,000 untuk Yat Kai.

Bagaimanapun KenZaly memohon jumlah jaminan dikurangkan berikutan perniagaan Yee Ling terjejas ketika pandemik dan tidak mempunyai pendapatan tetap, selain Yat Kai yang juga seorang ejen insurans, tidak mempunyai pendapatan tetap serta mengalami hipertensi dan kolesterol tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan Yee Ling diikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi, manakala RM20,000 untuk Yat Kai.

Mahkamah turut menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Yee Ling (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk pertuduhan salah guna, palsukan dan guna cek palsu. Turut didakwa atas empat kesalaha bersama Yee Ling adalah Yat Kai (kiri). -NSTP/ BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Yee Ling (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk pertuduhan salah guna, palsukan dan guna cek palsu. Turut didakwa atas empat kesalaha bersama Yee Ling adalah Yat Kai (kiri). -NSTP/ BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Berita Harian X