Rabu, 20 Julai 2022 | 4:45pm
Kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dengan treler di KM 451.9 Lebuhraya Utara Selatan arah ke selatan, pagi semalam. - Foto ihsan polis
Kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dengan treler di KM 451.9 Lebuhraya Utara Selatan arah ke selatan, pagi semalam. - Foto ihsan polis

Kakitangan perubatan maut nahas dengan treler

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 451.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke selatan, semalam.

Kemalangan dilaporkan berlaku sekitar jam 7.20 pagi ketika mangsa, Ahmad Norhakim Ruslan, 30, tahun yang menunggang Kawasaki ER250-C dalam perjalanan ke tempat kerja dari Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, berkata hasil siastan awal, kejadian berlaku apabila treler sedang dipandu di lorong paling kiri membrek dan mengubah haluan ke lorong kecemasan akibat aliran trafik perlahan di hadapan.

"Situasi itu menyebabkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan bergesel dengan treler terbabit sebelum terjatuh dan digilis tayar belakang sebelah kiri treler terbabit.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala serta beberapa bahagian tubuh badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada B.

Tambah Shafa'aton, treler dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun itu membawa muatan pasir dan dalam perjalanan dari Bestari Jaya ke Sungai Besi.

Katanya, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk urusan bedah siasat.

"Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita mohon saksi bebas yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan polis," katanya.

Katanya, segala maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650.

Berita Harian X