Sabtu, 16 Julai 2022 | 6:43pm
Pemandu pikap ditahan manakala kenderaannya yang diubahsuai untuk kegiatan menyeludup minyak dirampas. - Foto ihsan PDRM
Pemandu pikap ditahan manakala kenderaannya yang diubahsuai untuk kegiatan menyeludup minyak dirampas. - Foto ihsan PDRM

Koperal parah dilanggar suspek seludup minyak

KULIM: Seorang anggota polis parah selepas dilanggar pemandu pikap yang enggan memberhentikan kenderaannya ketika dikejar di hadapan sebuah restoran berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini hari ini.

Mangsa, Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, yang bertugas di Balai Polis Hi-Tech masih tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah Hospital Kulim akibat pendarahan serius di kepala.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengejar Nissan Frontier dipandu seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata seorang lelaki yang juga saksi kejadian memberitahu dia ternampak dua motosikal URB mengejar sebuah pikap yang datang dari Politeknik Kulim menuju ke Jalan Sungai Ular.

"Saksi terbabit mendakwa dia ketika itu sedang memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat dan melihat anggota URB mengejar serta meminta suspek memberhentikan kenderaan.

"Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba melanggar anggota polis terbabit sehingga mangsa terjatuh daripada motosikalnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, melihatkan kejadian itu saksi terbabit terus mengejar kenderaan suspek yang ketika itu menuju ke Pekan Kulim sebelum menghala ke Bukit Mertajam menggunakan laluan Machang Bubok.

"Siasatan mendapati suspek memandu kenderaannya secara berbahaya dan melulu sepanjang perjalanan sehingga melanggar beberapa kenderaan lain.

"Suspek kemudian memandu masuk ke Lebuhraya Sungai Dua dan membelok ke simpang Bagan Jermal, Seberang Prai sebelum dia menuju ke jalan mati di sebuah kawasan perumahan," katanya.

Menurutnya, suspek ditahan sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang turut mendapat bantuan anggota IPD Seberang Prai Tengah (SPT).

"Pemeriksaan mendapati suspek yang ditahan itu berusia 45 tahun dan berasal dari Sungai Petani serta mempunyai tiga rekod jenayah.

"Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan pemeriksaan terhadap kenderaannya mendapati ia sudah diubahsuai dengan meletakkan tangki minyak di belakang," katanya yang tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.

"Bagi kesalahan mengubahsuai kenderaan, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, mangsa yang berkahwin dan mempunyai seorang anak itu berkhidmat dalam pasukan polis sejak sembilan tahun lalu.

Berita Harian X