Sabtu, 16 Julai 2022 | 12:29pm

Suri rumah ditahan reman tujuh hari

JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang disyaki memukul suaminya sehingga mati di Flat Nipah, Taman Daya di sini direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 22 Julai depan itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Melody Woon Sze Mun, di sini, hari ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wanita berusia 36 tahun itu yang memakai baju-T putih dan seluar lokap tiba ke mahkamah pada 8.45 pagi.

Bagi kes positif dadah pula, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian 7.50 pagi semalam, seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga bekerja sendiri ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan, dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.

Lebih sejam kemudian, polis menahan seorang wanita dipercayai isteri kepada mangsa berhampiran kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dilaporkan berkata, wanita berkenaan didapati berada di bawah pengaruh dadah berdasarkan ujian saringan yang mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Seorang wanita yang disyaki memukul suaminya sehingga mati dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi perintah tahanan reman. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Seorang wanita yang disyaki memukul suaminya sehingga mati dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi perintah tahanan reman. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Berita Harian X