Selasa, 12 Julai 2022 | 5:15pm
Bekas ahli perniagaan ditembak mati tengah malam tadi. - Foto hiasan NSTP
Bekas ahli perniagaan ditembak mati tengah malam tadi. - Foto hiasan NSTP

Warga emas maut ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut, selepas ditembak di luar kondominium Jalan Desa Kiara 1, di sini, tengah malam tadi.

Polis yang menerima laporan kejadian pada jam 12.09 tengah malam, mendapati mangsa yang berusia 63 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata sebelum kejadian, mangsa mengunjungi kediaman rakannya di kondomonium terbabit untuk bermain mahjung.

"Selesai bermain Mahjung, mangsa keluar dari rumah rakannya dan bergerak keluar ke keretanya yang diparkir di luar kawasan kondominium berkenaan.

"Saksi mengatakan terlihat si mati melintas untuk ke tempat letak kereta.

"Tidak berapa lama kemudian, saksi terdengar bunyi tiga das tembakan, sebelum menemui mangsa terbaring di sebelah keretanya dengan berlumuran darah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

"Semakan mendapati mangsa tiada sebarang rekod jenayah. Mangsa tidak bekerja dan menyara hidupnya dengan hasil perniagaan.

"Kita mohon orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Berita Harian X