SUNGAI SIPUT: Seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Kanthan di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata nahas berhampiran sebuah kilang simen itu membabitkan sebuah kereta Proton Satria.
Beliau berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sungai Siput menerima panggilan jam 8.08 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
"Kemalangan itu mengakibatkan seorang wanita maut di tempat kejadian, manakala empat lagi iaitu tiga lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera dalam kenderaan yang terbalik itu.
"Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan, sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans dan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.