Rabu, 6 Julai 2022 | 3:42pm

Rogol anak, bapa dipenjara 50 tahun dan 8 sebatan

MELAKA: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan terhadap seorang lelaki yang bersalah atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2021 dan Januari tahun ini.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh dan mensabitkannya dengan semua pertuduhan, selain menimbangkan fakta kes, keterangan impak mangsa, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan.

Susulan itu, beliau menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan rogol serta masing-masing 10 tahun penjara dan dua sebatan bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal.

Hukuman penjara bagi kesalahan rogol berjalan berasingan, manakala untuk amang seksual bermula serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Mac lalu.

"Tertuduh juga diperintah menjalani kaunseling pemulihan ketika menjalani hukuman dalam penjara," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja mengait kelapa sawit didakwa merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai, Jasin pada 20 Januari lalu, kira-kira jam 9 malam.

Kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama iaitu melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual pada masa, tarikh dan tempat sama.

Jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi kesalahan Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017, manakala Seksyen 16 (1) akta sama, membawa hukuman maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia yang tidak diwakili peguam didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya itu di sebuah rumah di kampung sama pada 18 Oktober 2021, kira-kira jam 8.30 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim menghujahkan supaya hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan juga keadilan kepada mangsa.

"Perbuatan tertuduh merogol anak kandungnya amat terkutuk dan berdasarkan keterangan impak mangsa jelas menunjukkan kesan besar terhadapnya.

"Sebab itu, pendakwaan menghujahkan hukuman berat berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh sebagai mesej mahkamah memandang serius kesalahan sebegini," katanya.

Ketika membacakan impak keterangan mangsa, Muhammad Nazrin berkata, anak sulung daripada empat beradik itu menyatakan apabila teringat perbuatan bapanya itu dia takut untuk berjumpa orang dan menjadi pendiam.

"Mangsa juga berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap bapanya supaya dia insaf dan bertaubat," katanya.

Lelaki yang bersalah atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2021 dan Januari tahun ini.
Lelaki yang bersalah atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya pada Oktober 2021 dan Januari tahun ini.
Berita Harian X