MELAKA: Seorang pembantu penguat kuasa kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 12 pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM8,500 bagi melindungi syarikat pengangkutan lori daripada dikenakan tindakan undang-undang antara April 2020 hingga Mac 2021.
Bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 40, tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan selepas dibacakan semua pertuduhan pada prosiding di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 10, Ahmad Jamil didakwa memperoleh suapan bulanan RM500 tanpa balasan daripada pengurus syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise, N PP Vijayan dengan mengetahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Maybank Merlimau, Jasin pada 28 April, 9 Jun, 9 Julai, 17 Ogos, 11 Oktober, 12 November dan 15 Disember 2020 serta pada 11 Januari, 15 Februari dan 3 Mac 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Dua pertuduhan turut dibacakan ke atas tertuduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi dakwaan memperoleh suapan berjumlah RM3,500 daripada Vijayan untuk diri sendiri melalui pindahan wang.
Tertuduh didakwa menerima suapan itu antara 28 April 2020 hingga 12 November 2020 dan antara 11 Januari hingga 12 Mac 2021 di Maybank Cawangan Melaka Raya, dekat sini, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang menjalankan pendakwaan mencadangan jaminan RM4,500 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana mempunyai tanggungan isteri dan dua anak termasuk seorang daripadanya kurang upaya (OKU).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan diperintah melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM sehingga perbicaraan selesai.
Kes akan disebut semula pada 15 September depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.