Isnin, 4 Julai 2022 | 5:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Peniaga nasi lemak didakwa tipu pelaburan emas

KUANTAN: Seorang peniaga nasi lemak dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 25 pertuduhan penipuan berkaitan pelaburan emas membabitkan kerugian RM161,073, antara September hingga Januari lalu.

Wan Noraini Wan Abdullah, 43, dari Jalan Gambang di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan memperdayakan dua wanita berkaitan pelaburan itu di syarikat Empire Gold Ventures di Sungai Isap Maju 1 di sini antara 6 November 2021 hingga 10 Januari lalu.

Wan Noraini didakwa melakukan kesalahan dengan menawarkan pakej pulangan nilai emas sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM900, RM11,500 dan RM12,100, namun dia dikatakan hanya menyerahkan nilai emas pada kadar lebih rendah iaitu sekitar RM4,658 hingga RM4,865.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

"Suami juga bekerja sendiri dan kami mempunyai tujuh anak. Saya mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan rendah," katanya.

Nurul Farahah membenarkan jaminan RM48,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Sementara itu, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan sama membabitkan tiga mangsa yang didakwa dilakukan antara 28 September 2021 hingga 10 Januari lepas di tempat sama.

Ainis membenarkan jaminan RM24,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Julai sebagai sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adilah Muhammad Faizal. – BERNAMA

Berita Harian X