AMPANG JAYA: Baran kerana dijeling, seorang lelaki didakwa membaling dua baldi ke arah adiknya dan menampar serta menjirus air teh suam ke tubuh neneknya dalam kejadian di Kampung Tasik Tambahan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata dalam kejadian jam 9.30 malam berkenaan, suspek berusia 25 tahun itu dilihat pulang ke rumah dalam keadaan marah oleh adik perempuannya.
Beliau berkata, adik suspek yang berusia 23 tahun menjeling ke arah abangnya dan tindakannya itu membuatkan suspek naik angin lalu membaling dua baldi yang terkena belakang badan mangsa.
"Suspek juga menampar dan menjirus air teh suam ke badan neneknya yang berada di rumah sama.
"Adik mangsa cedera di bahu manakala neneknya yang berusia 64 tahun cedera di pipi.
"Kedua-dua mangsa mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan semalam dan polis turut merampas dua baldi yang digunakan dalam kejadian.
Katanya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.