Khamis, 30 Jun 2022 | 8:54am
Anggota penguat kuasa PADK mengambil keterangan lelaki dan wanita yang dicekup berkhalwat di bilik sewa di Kampung Pondok Labu, Kulim, Kedah. - Foto ihsan PADK
Anggota penguat kuasa PADK mengambil keterangan lelaki dan wanita yang dicekup berkhalwat di bilik sewa di Kampung Pondok Labu, Kulim, Kedah. - Foto ihsan PADK

Dicekup khalwat ketika suami bekerja

KULIM: Seorang wanita yang mempunyai empat anak dicekup berkhalwat bersama pasangannya di bilik sewa di Kampung Pondok Labu, di sini ketika suami wanita itu keluar bekerja awal pagi tadi.

Wanita berusia 35 tahun dan pasangan, 32, itu dicekup pada jam 1.40 pagi oleh sepasukan anggota dari Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).

Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat, berkata ketika kejadian, suami wanita itu dipercayai keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang tayar di daerah ini.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan terdapat tiga kanak-kanak disyaki anak wanita itu sedang tidur.

"Pihak kami menerima maklumat berhubung kejadian itu berdasarkan maklumat awam dan melakukan pemeriksaan di bilik sewa yang didiami wanita berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, pasangan itu bukan suami isteri atau mahram malah mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mereka mempunyai hubungan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anwar Shariffudin berkata, hasil siasatan mendapati, pasangan itu dipercayai berkenalan di sebuah kedai makan di daerah ini kira-kira enam bulan lalu.

Beliau berkata, wanita yang berasal dari daerah ini itu bekerja sebagai tukang cuci, manakala lelaki yang berasal dari Pendang itu pula bekerja sebagai pemandu jengkaut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurut Anwar Shariffudin, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan.

Berita Harian X