Rabu, 29 Jun 2022 | 3:51pm

Tukang cuci kereta dipenjara 6 tahun, satu sebatan rogol budak

KUALA TERENGGANU: Tukang cuci kereta dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol kanak-kanak perempuan yang dikenalinya menerusi media sosial.

Hukuman dijatuhkan Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Ahmad Amirul Ariff Razali, 22, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini jam 7 malam pada 11 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 13 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Amirul Ariff Razali, 22, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merogol remaja perempuan yang dikenalinya menerusi media sosial. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Berita Harian X