Isnin, 27 Jun 2022 | 8:38pm

MCMC rakam keterangan bekas senator berhubung video TikTok mengenai subsidi

IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan seorang bekas senator di Balai Polis Sungai Senam di sini, hari ini, berkaitan video tular di TikTok mengenai penghapusan isu subsidi, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pegawai MCMC mengambil keterangan Siti Aishah Shaik Ismail, 39, kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.

"Keterangan dirakam oleh MCMC bagi menjalankan siasatan," katanya kepada BERNAMA.

Difahamkan, siasatan terhadap Siti Aishah, bekas senator yang dilantik pada 22 Jun 2015 itu dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Wanita itu sebelum ini memuat naik video di TikTok mengenai isu subsidi yang kononnya akan dihapuskan pada 1 Julai sehingga menimbulkan kemarahan rakyat. – BERNAMA

Berita Harian X